Tuesday, April 13, 2010

Selamat berkenalan!

Assalamualaikum semua!

Nama saya Salman al-Farisi bin Khair Zikri.

Saya mempunyai kuasa super iaitu mengerakkan objek menggunakan pandangan mata. Bapa saya kata, kuasa ini diwarisi turun-temurun dari nenek moyang kami yang dimulakan dengan Syeikh Musa bin Syeikh Mahmood atau nama gelarannya Raja Musa.

Entahlah, saya pun masih tidak berapa faham lagi tentang pewarisan ini. Bapa saya kata, tunggulah selepas tamat sekolah rendah nanti, saya akan faham juga kerana saya akan dihantar ke Sekolah Adiwira di Kepulauan Hira'. Jauh juga Kepulauan Hira' itu, di tengah Laut Merah. Bagaimanalah agaknya saya mahu pulang bercuti? Tentu kos penerbangannya mahal.

Aha!

Tetapi bapa saya kata, saya akan diberikan haiwan tunggangan. Namanya Phoenix Scarlet. Apa jenis haiwan itu, saya pun kurang pasti. Yang saya tahu, Phoenix itu seekor burung. Itu pun saya dengar dari lagu M. Nasir, Phoenix Bangkit Dari Abu.

Apa yang saya merepek ini? Kita baru hendak berkenalan, kan? Nanti awak takut pula dengan cerita-cerita pelik saya ini.